Balai Polis Diserang Empat Pegawai Terbunuh
Sekurang-kurangnya empat pegawai polis Pakistan terbunuh dan empat lagi cedera parah apabila suspek militan menyerang sebuah balai polis di barat laut negara itu, menurut polis.
Pegawai polis yang terbabit, Nawaz Khan berkata, suspek menggunakan bom tangan dan senjata automatik dalam serangan di balai polis di daerah Lakki Marwat, sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Katanya, polis yang bertugas bertindak balas dan sempat meminta bantuan sebelum penyerang melarikan diri kerana kehabisan peluru.
Baca: Bakal Bina Balai Bomba Tertinggi Di Dunia Di Gunung Kinabalu
Polis sedang menjalankan siasatan rapi dan tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan setakat ini.
Sebelum ini, serangan terhadap polis di daerah itu didakwa dilakukan oleh Taliban Pakistan, juga dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP).
Bulan lalu, militan menyerang hendap polis peronda yang melakukan rondaan rutin, membunuh kesemua enam anggota polis dalam kenderaan di kawasan Dadewala di daerah Lakki Marwat.
Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab atas serangan hendap Dadewala di mana kumpulan militan itu berasingan tetapi bersekutu dengan Taliban Afghanistan.
Akhir bulan lalu, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya berhampiran trak yang membawa anggota polis dalam perjalanan untuk melindungi pekerja polio berhampiran Quetta, di barat daya Pakistan, membunuh seorang pegawai polis dan tiga ahli keluarga yang menaiki kereta berhampiran.
Pengeboman itu turut mencederakan 23 yang lain, kebanyakannya anggota polis.-hmetro
Leave a Reply