Sindiket Pelaburan Tipu Hingga RM13.2 Bilion

Sindiket Pelaburan Tipu Hingga RM13.2 Bilion

Sindiket Pelaburan Tipu Hingga RM13.2 Bilion

Satu sindiket pelaburan dikesan menipu kira-kira 100,000 mangsa di seluruh negara sejak tujuh tahun lalu dengan menjanjikan pulangan mencecah USD200 juta (RM880 juta) hingga USD3 billion (RM13.2 bilion) untuk pelaburan serendah RM250 dan RM1,000.

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Sahabat Malaysia (JSM) Mohd Radzi Abdul Rahman berkata, ahli sindiket akan bergerak dalam kumpulan kecil dengan menawarkan pelbagai jenis pakej pelaburan dengan pulangan yang lumayan menerusi kumpulan WhatsApp.

“Mangsa didapati membuat pelaburan dalam jangka masa panjang menerusi pakej yang ditawarkan menerusi WhatsApp dengan ada di antara mereka melabur sejak 2015.

“Bagi meyakinkan mangsa, sindiket berkenaan menggunakan dokumen palsu dan mengaku kononnya pelaburan berkenaan mendapat sokongan pelbagai agensi antaranya Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, selepas selesai membuat laporan bersama kira-kira 40 mangsa penipuan sindiket berkenaan, hari ini.

Mohd Radzi berkata, tahun lalu pihaknya ada bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi pelaburan berkenaan yang diuruskan seorang ahli perniagaan tempatan selepas menerima ratusan aduan daripada mangsa.

“Pihak terbabit gagal memberikan bukti sahih serta tiada sebarang dokumentasi sah dan kami menemui banyak dokumen palsu serta pelbagai helah digunakan bagi menutup perbuatan mereka.

“Malah, pihak BNM turut mengesahkan dana pelaburan berkenaan adalah palsu atau sesuatu yang berunsur penipuan dengan pihak kedutaan Amerika Syarikat juga menafikan pembabitan mereka dalam pelaburan itu,” katanya.

Belia berkata, mangsa yang terjerat dengan sindiket itu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk orang kampung, golongan profesional dan penjawat awam.

“Kami menerima banyak aduan yang dibuat di seluruh negara dengan kebanyakannya daripada individu perseorangan. Berdasarkan aduan yang diterima, ada mangsa yang rugi sehingga RM1.5 juta.

“Kebanyakan mangsa menyertai pelaburan itu melalui WhatsApp yang menyukarkan siasatan kerana tiada dokumen yang mengesahkan individu itu sebagai ahli pelaburan berkenaan,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera terhadap sindiket berkenaan bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

“Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan sindiket ini diminta tampil di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.-hmetro

About admin 960 Articles
Informasi, Fakta, Perkongsian Bermanfaat, Sejarah, Sukan dan Tidak Ketinggalan Berita Viral dan Hiburan

Be the first to comment

Leave a Reply