
Doktor Palsu Warga Pakistan Didenda RM8000
Padah menyamar doktor klinik swasta, seorang lelaki warga Pakistan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Suhaib Jalal, 26, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu dengan menyamar sebagai pegawai perubatan sehingga mendorong seseorang untuk mempercayai bahawa dia mempunyai kelulusan untuk menjalankan amalan perubatan.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah klinik swasta di Taman Maluri pada 9 malam, 1 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, hasil serbuan di lokasi kejadian, pihak polis mendapati tertuduh menawarkan khidmat rawatan kesihatan tanpa sijil perakuan dan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam prosiding hari ini, peguam Tripatjit Singh yang mewakili Suhaib merayu supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan.
“Dia direman selama 19 hari, seorang graduan di salah sebuah universiti di China dalam jurusan perubatan.
“Bagaimanapun, dia tidak mempunyai sijil pengesahan daripada KKM untuk memberikan khidmat perubatan di negara ini,” katanya.
Selain itu, tertuduh turut diwakili peguam, Tharanjit Singh.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
“Dia perlu mematuhi undang-undang Malaysia termasuk prosedur yang ditetapkan KKM,” katanya.-hmetro

Leave a Reply