
Warga Emas Derma Simpanan RM6.44 Juta
Suami isteri di China menjalani kehidupan sederhana selama berdekad untuk mengumpul 10 juta yuan (RM6.44 juta) dan didermakan kepada pembangunan pendidikan di kampung halaman mereka.
Ma Xu, 90, dan suaminya, Yan Xueyong tinggal di wilayah Hubei, namun sebenarnya berasal dari wilayah Heilongjiang, timur laut China.
Ma adalah seorang daripada pasukan payung terjun wanita pertama di China dan bertemu suaminya, yang juga bekas anggota pasukan sama ketika berkhidmat dengan Tentera Pembebasan Rakyat.
Baca: Warga Emas 90 Tahun Tetap Sado
Dia dilahirkan dalam keluarga miskin sebelum mencapai impian dalam pasukan terjun pada 1962 dan selepas berkahwin, banyak terbabit dengan penyelidikan saintifik ketenteraan termasuk mencipta penutup buku lali sebagai pelindung tentera serta jaket oksigen.
Mereka menyimpan wang ketika masih berkhidmat dan kemudian berjimat menggunakan pendapatan hasil produk ciptaan.
Pasangan itu hanya tinggal di banglo lama, memakai kasut bernilai hanya 15 yuan (RM9.66) dan menggunakan telefon bimbit lama yang dibeli lebih sedekad lalu.
Ma memberitahu Guangming News yang dipetik SCMP, “hanya apabila anak-anak menerima pendidikan yang baik, barulah kampung halaman kita boleh berkembang.”
Mereka memutuskan menyumbang sejumlah simpanan untuk pendidikan anak tempatan di kampung halaman pada 2018.
Ketika menyuarakan hasrat itu, pihak bank ragu-ragu hingga menghubungi polis kerana menyangka pasangan terbabit mangsa penipuan apabila mengeluarkan wang yang banyak.
Selepas siasatan polis, niat murni pasangan itu akhirnya berjaya dilunaskan dan kini menjadi contoh baik kepada rakyat China kerana kemuliaan hati mereka.-hmetro
Leave a Reply