
Gadis Kebumi Diri Sendiri Kerana Putus Cinta
Gara-gara patah hati kerana hubungan cinta tiga tahun terlerai, wanita China ini sanggup ‘mengebumikan’ dirinya sendiri.
Wang, 25, dari wilayah barat daya Sichuan memutuskan menjalankan upacara pengebumian di sebuah kedai bunga di Chengdu, 28 Oktober lalu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kekasihnya, lapor platform tempatan Sohu.
Wanita itu dilaporkan berpisah dengan kekasihnya kerana hubungan mereka ditentang ibu bapa teman lelakinya yang menentang rancangan perkahwinan mereka.
Wang berkata, dia sering diasak rakannya tentang perkahwinannya menyebabkan dia memutuskan menjemput mereka pada ‘majlis pengebumiannya’.
Katanya, dia mengubah konsep pengebumian yang sinonim dengan kesedihan kerana meratapi kematian kepada ritual simbolik untuk melepaskan emosi perpisahan itu.
Baca: Penagih Dadah Gali Kubur Disangka Ada Duit
“Kaedah itu bukan saja cara saya mengatasi kesedihan, tetapi memulakan lembaran baharu dalam hidup saya.
“Ini termasuk mencari jalan untuk sembuh sementara dapat menepis persoalan berterusan tentang rancangan perkahwinan saya,” katanya.
Upacara itu menyaksikan Wang berbaring di atas ‘katil maut’ dengan dikelilingi lilin sebagai simbolik.
Rakan wanita itu mengikut adat pengebumian tradisional iaitu tunduk dan menghadiahkannya dengan bunga putih satu persatu.
Selepas upacara itu, Wang secara kiasan kononnya bangkit semula meneruskan kehidupan.
Dalam video tular, dia dilihat berborak mesra dengan rakannya tentang kehidupan, kematian dan fokus ke hadapan tidak menoleh lagi masa lalu.-hmetro
Leave a Reply