Isteri Orang Antara Mangsa ‘Love Scam’

Isteri Orang Antara Mangsa 'Love Scam'

Isteri Orang Antara Mangsa ‘Love Scam’

Wanita berstatus isteri orang adalah antara 644 mangsa dalam kes penipuan ‘Love Scam’ dalam talian yang direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.

Secara keseluruhan seramai 810 mangsa termasuk 166 individu lelaki direkodkan menjadi mangsa penipuan cinta dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata daripada jumlah 644 mangsa wanita 307 daripada mereka adalah berusia antara 31 hingga 50 tahun yang secara lazimnya sudah berkahwin.

“Kita tidak menolak kemungkinan terdapat isteri-isteri yang membelakangi suami dan melayan cinta alam maya menerusi media sosial.”Wanita-wanita berkahwin ini diperdaya melalui aplikasi Facebook, WeChat, Tinder, WhatsApp, Instagram dan sebagainya sehingga menjadi mangsa kepada penipuan ‘Love Scam’.

“Ingin saya nasihatkan kepada wanita-wanita ini untuk menghentikan perbuatan itu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sehingga mengalami kerugian wang akibat ditipu oleh individu yang kononnya menyintai dan menyayangi mereka secara maya,” katanya dalam sidang media hari ini, di sini.

Ramli berkata, wanita-wanita yang berstatus isteri ini juga disarankan untuk mencari penyelesaian terbaik dalam apa juga masalah yang dihadapi.

“Ada situasi di mana wanita berstatus isteri orang ini ketika membuat laporan polis meminta pihak kami supaya merahsiakan kes mereka daripada pengetahuan suami masing-masing.

“Ini menyebabkan pihak polis mempunyai dua kerja, satu kerja menyiasat kes penipuan love scam mereka dan satu lagi adalah memastikan kes itu tidak diketahui oleh suami mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis tidak dapat menghalang wanita berstatus isteri dan suri rumah menjadi mangsa penipuan love scam namun meminta mereka lebih berhati-hati ketika melayan sebarang permintaan daripada kenalan yang meragukan dalam media sosial.

“Jadilah seorang pengguna laman sosial yang bijak dan tidak mudah terperdaya dengan pelbagai helah dan taktik penipuan yang menggunakan kasih sayang, cinta dan belas ihsan,” katanya.-hmetro

About admin 1190 Articles
Informasi, Fakta, Perkongsian Bermanfaat, Sejarah, Sukan dan Tidak Ketinggalan Berita Viral dan Hiburan

Be the first to comment

Leave a Reply