
Ditangkap Khalwat Lelaki Beri Alasan Jauh Ke Tempat Kerja
Seorang lelaki memberi alasan terpaksa menumpang tidur di rumah teman wanitanya untuk memudahkan dia pergi dan pulang dari kerja kerana dekat dengan tempat kerjanya.
Dia memberi alasan itu ketika dicekup berkhalwat oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), tengah malam tadi.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan maksiat di sebuah rumah Taman Mutiara, Sungai Kob di Karangan di sini, pada 12.13 tengah malam.
Beliau berkata, pemeriksaan diketuai Azwan Azman dan selepas mengetuk pintu serta memberi salam, seorang wanita membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dilakukan di dalam rumah berkenaan.
“Kami menemukan seorang lelaki berada di dalam bilik kedua rumah terbabit dan hasil soal siasat mendapati, kedua-duanya bukan pasangan suami isteri atau mahram dan tidur di bilik sama sehingga menimbulkan syak berlakunya maksiat.
“Wanita dan pasangannya masing-masing berusia 23 tahun itu masih belum berkahwin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anwar berkata, kedua-dua mereka bekerja di tapak pesta ria (fun fair) di taman perumahan itu dan lelaki terbabit menetap di Sungai Ular, dekat sini.
Katanya, lelaki itu memberi alasan yang rumahnya jauh dari tempat kerja menyebabkan dia mengambil peluang menumpang di rumah wanita berkenaan, disebabkan ibu wanita itu berada di rumah abangnya di Pahang, manakala bapa tirinya tiada di rumah.
“Mereka ditahan mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
“Pasangan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Sungai Kob untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan,” katanya.-hmetro
Leave a Reply