Jadi Serigala Bayar RM101,584.14
Seorang lelaki di Jepun sanggup membelanjakan tiga juta yen (RM101,584.14) untuk kostum serigala buatan tangan, demi memenuhi impiannya menjadi haiwan liar itu.
Kostum itu dihasilkan Zeppet iaitu syarikat yang mengkhusus dalam pembuatan sut kesan khas dan pernah menjadi bualan ramai kerana mencipta kostum anjing bernilai dua juta Yen (RM67,721), tahun lalu untuk pelanggannya, Toco yang mahu ‘hidup’ seperti haiwan itu.
Baca: Kucing Baka Maine Coon Disangka Anjing
Kostum anjing collie berkualiti tinggi, didakwa Zeppet direka untuk menyesuaikan manusia dengan anatomi anjing, mendapat perhatian selepas tular di Twitter.
Baru-baru ini, syarikat sama mengumumkan menerima pesanan lebih mencabar daripada pelanggan yang ingin merealisasikan fantasinya sebagai serigala.
“Disebabkan kecintaan saya terhadap haiwan sejak zaman kanak-kanak dan melihat beberapa sut haiwan realistik di televisyen, maka saya pasang impian untuk menjadi seperti itu suatu hari nanti,” kata lelaki yang membuat tempahan berkenaan.
Dia berkunjung ke studio pembuatan sut beberapa kali untuk mengambil ukuran dan berkata, “mereka memeriksa gambar serigala sebenar sambil berbincang mengenai perincian kecil hinggalah gabungan banyak ciri bagi spesifikasi keseluruhan.”
Zeppet mengambil masa 50 hari untuk menyiapkan kostum berkenaan, dan hasilnya mengagumkan pelanggan itu kerana hampir sama seperti apa yang dibayangkannya.
“Pada sesi ‘fitting’ terakhir, saya kagum melihat transformasi diri saya di cermin. Ia saat di mana impian saya menjadi kenyataan.
“Tempahan untuk ‘kelihatan seperti serigala berdiri dengan kaki belakang’ adalah sukar, tetapi sut yang siap sepenuhnya ini kelihatan seperti apa yang saya bayangkan,” katanya.
Menurutnya lagi, semua spesifikasi sut itu melengkapi kehendaknya, malah turut disertakan ruang pengudaraan yang memberi keselesaan kepada pemakai.
“Alat yang memudahkan memakai sut tanpa pertolongan sesiapa menunjukkan yang pereka memberi sangat perhatian terhadap keselesaan pemakai,” katanya.-hmetro
Leave a Reply