Isa Samad Dipenjara 6 Tahun Dan Denda RM15.45 Juta

Isa Samad Dipenjara 6 Tahun Dan Denda RM15.45 Juta

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas mendapati dia bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, Mohd Isa, 71, hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya dan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Baca: Najib: Aset KWSP RM940 bilion, Hanya Perlu RM40 bilion Penuhi Tuntutan Rakyat Terjejas

Mohd Nazlan ketika membuat keputusan itu berkata, hukuman dijatuhkan adalah bagi memberi peluang kepada pesalah melakukan pemulihan dan juga pengajaran untuk tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

“Mahkamah mengambil maklum latar belakang tertuduh dan rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik negara di mana tertuduh telah berkhidmat sebagai menteri besar selama dua dekad dan juga sebagai menteri kabinet.

“Kesalahan berkaitan rasuah adalah serius yang menggugat ekonomi negara dan merupakan barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.

“Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

“Mahkamah juga mengenakan denda lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjumlah RM15.45 juta dan sekiranya gagal membayar denda dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan,” kata hakim itu.

Mohd Nazlan membenarkan permohonan Mohd Isa untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga pelupusan kes di Mahkamah Rayuan.

Hakim itu berkata, mahkamah berpuas hati bahawa Mohd Isa berjaya mewujudkan keadaan istimewa bagi mahkamah membenarkan permohonan itu.

“Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta iaitu tertuduh perlu membayar RM700,000 sehingga pukul 2.00 petang esok.

“Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai,” kata hakim itu.

Terdahulu peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa berkata, sekiranya pelaksanaan hukuman itu berkuat kuasa hari ini anak guamnya akan ditahan di penjara sementara rayuan.

“Oleh itu rayuan anak guam saya akan jadi sia-sia (sekiranya rayuan dibenarkan),” katanya.-hmetro

About admin 1198 Articles
Informasi, Fakta, Perkongsian Bermanfaat, Sejarah, Sukan dan Tidak Ketinggalan Berita Viral dan Hiburan

Be the first to comment

Leave a Reply