Taiwan Dilanda Gempa Bumi Kuat
Rakaman di media tempatan menunjukkan bangunan kediaman runtuh dan orang ramai dipindahkan dari rumah dan sekolah mereka, susulan gempa bumi kuat yang melanda Taiwan, semalam.
Kesan gempa bumi itu juga meremukkan kenderaan dan membuatkan barangan di dalam kedai bertaburan, menurut klip yang disiarkan oleh penyiar tempatan TVBS.
Selain itu, bekalan elektrik dan gangguan internet dilaporkan di seluruh Taiwan, menurut kumpulan pemantau internet NetBlocks.
Reuters melaporkan pengendali elektrik, Taipower berkata, lebih 87,000 isi rumah di Taiwan masih terputus bekalan elektrik.
Bagaimanapun, dua stesen jana kuasa nuklear negara itu tidak terjejas.
Pengendali kereta api berkelajuan tinggi Taiwan berkata, tiada kerosakan pada kereta apinya.
Syarikat semikonduktor gergasi Taiwan, Semiconductor Manufacturing Co berkata, pihaknya memindahkan beberapa loji fabrikasi dan sistem keselamatannya beroperasi seperti biasa.
Terdahulu, Taiwan, Jepun dan Filipina mengeluarkan amaran tsunami, namun ia ditarik balik .
Dalam pada itu, AFP melaporkan media sosial dibanjiri dengan video dan imej yang dikongsi dari seluruh negara mengenai bangunan bergoyang ketika gempa bumi berkenaan.
“Saya mahu lari keluar, tetapi saya tidak berpakaian. Itu sangat kuat,” kata Kelvin Hwang, tetamu di sebuah hotel di sini.
Imej dramatik ditayangkan di televisyen tempatan menunjukkan bangunan di Hualien dan tempat lain yang condong selepas gegaran tamat.
Selain itu, sebuah gudang di New Taipei City runtuh.
Saluran televisyen tempatan menunjukkan jentolak membersihkan batu di sepanjang jalan ke Hualien, sebuah bandar pantai yang dikelilingi gunung.
AFP turut melaporkan pengguna media sosial di wilayah Fujian di timur China dan di tempat lain berkata, mereka juga merasakan gegaran kuat.
Penduduk Hong Kong juga melaporkan merasakan gegaran susulan bencana itu.-hmetro
Leave a Reply