
Tiga Warga Emas Pecah Rumah Curi RM6.07 Dan Wiski
Tiga lelaki warga emas di Jepun, baru-baru ini, tular selepas mereka ditahan kerana melakukan pecah rumah, lapor South China Morning Post.
Hideo Umino, 88, Hidemi Matsuda, 70, dan Kenichi Watanabe, 69, bertemu di penjara, dan dituduh merancang untuk melakukan aktiviti jenayah itu selepas mereka dibebaskan.
Ketiga-tiga mereka didakwa menceroboh sebuah rumah kosong di Sapporo, ibu kota pulau Hokkaido di utara Jepun, pada Mei lalu.
Mereka dituduh melakukan kecurian bernilai hanya 200 yen (kira-kira RM6.07) dan tiga botol wiski bernilai keseluruhan 10,000 yen (kira-kira RM303).
Pada Jun lalu, mereka didakwa merompak sebuah lagi rumah kosong di daerah yang sama, mengambil 24 barang kemas bernilai satu juta yen (kira-kira RM30,000).
Penyiasat mengatakan bahawa ahli kumpulan tertua, Umino, bertanggungjawab ke atas kecurian itu, Matsuda adalah pemandu untuk mereka melarikan diri, dan yang ‘muda’, Watanabe, bertanggungjawab menguruskan harta yang dicuri.
Penyiasat mengesan kumpulan itu selepas memeriksa rakaman video pengawasan dan mendapati beberapa harta curi yang hilang dijual semula.
Laporan menyebut bahawa ketiga-tiga lelaki warga emas itu memerlukan sokongan fizikal anggota polis semasa ditahan.
Mereka didakwa berkata perlu melakukan jenayah itu untuk menyara hidup.
Polis berkata, mereka juga sedang menyiasat jika kumpulan itu terbabit dalam 10 kes pecah rumah lain di Sapporo dan bandar jiran Ebetsu.
Berita penahanan mereka mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.-hmetro

Leave a Reply