Pesawat Membawa Vaksin Covid-19 Tiba Di Lapangan Terbang KLIA

Pesawat Membawa Vaksin Covid-19 Tiba Di Lapangan Terbang KLIA

Setelah lebih setahun negara ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini, akhirnya pada pagi ini, vaksin covid-19 tiba dan menjadi harapan dalam menangani wabak itu bakal ‘mendarat’ di bumi Malaysia.

Detik bersejarah ini dijangka berlaku kira-kira 10 pagi apabila kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn Bhd (MASKargo).

Perjalanan vaksin ini adalah dari kilang Pfizer di Belgium dengan penerbangan membawa vaksin itu akan berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

Baca: Malaysia Beri Vaksin COVID-19 Seminggu Lebih Awal

Ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu akan disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), turut meramalkan cuaca pagi dan petang ini di daerah Sepang dan Putrajaya baik iaitu minimum 23 darjah Celcius hingga 33 darjah Celcius.

Dengan ketibaan vaksin itu, Malaysia akan dapat memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, iaitu program vaksinasi terbesar yang pernah dilakukan di negara ini dan ia akan dilancarkan dalam tempoh lima hari lagi (26 Februari).

Selaku antara negara terawal di Asia Tenggara selepas Singapura yang akan menggunakan vaksin berkenaan bagi membentuk imuniti terhadap jangkitan virus Covid-19, harapan yang lebih besar bagi 32 juta rakyat Malaysia ialah dapat ‘membebaskan’ negara daripada belenggu penyakit itu, supaya situasi kembali seperti sedia kala.

Pastinya vaksin yang sudah diakui keberkesanannya dan mendapat kelulusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) itu diharap berjaya ‘menampan’ rakyat daripada menjadi mangsa virus berbahaya itu.

Mengikut perancangan, fasa pertama pada 26 Februari ini, penerimanya adalah petugas barisan hadapan iaitu anggota KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain- lain yang ditetapkan kerajaan.

Sebanyak 600 lokasi vaksinasi seluruh negara ditetapkan dengan tujuh vaksinator (petugas menyuntik vaksin) akan disediakan di setiap lokaliti atau kawasan.

Fasa pertama program imunisasi yang bermula Februari hingga April itu akan diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Fasa ketiga pula membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama-sama petugas barisan hadapan.

Pada 11 Januari lepas, perjanjian untuk penghantaran fasa pertama vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b ke seluruh negara dimeterai antara kerajaan, melalui KKM dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd.

Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) membabitkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung Februari, meliputi 20 peratus populasi Malaysia dengan dua dos seorang.-hmtero

About admin 1190 Articles
Informasi, Fakta, Perkongsian Bermanfaat, Sejarah, Sukan dan Tidak Ketinggalan Berita Viral dan Hiburan

Be the first to comment

Leave a Reply