Umno Tarik Sokongan, Muhyiddin Diminta Berundur Kerana Gagal
Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi, memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.
Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan keputusan itu dipersetujui bersama dalam MKT selepas UMNO mendapati Muhyiddin gagal, terutama dalam mengurus ekonomi negara, pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut mengenai mana-mana kedudukan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin selama ini.
Malah Zahid juga tidak menyebut mengenai parti pakatan lain termasuklah kedudukan gabungan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS.
“Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta merta.
“Justeru, UMNO mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad,” katanya ketika membaca kenyataan media selepas mesyuarat itu.
Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat MKT yang berlangsung mulai jam 8.30 malam.
Zahid mendakwa, kegagalan kerajaan menangani pandemik COVID-19 secara berkesan mencetuskan keresahan dan kemurungan serius dalam kalangan rakyat menjadi antara tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional.
“Kedua, katanya kegagalan kerajaan dengan menyalahgunakan darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara, sekaligus menafikan suara UMNO yang sejak dari awal membantah keras proklamasi terbabit.
“Malah Ordinan Darurat yang kononnya boleh digunakan untuk membantu rakyat, ternyata lebih banyak membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat ‘dwi-standard’ dan melampau yang dikenakan ke atas rakyat, dalam keadaan mereka sudah sedia terbeban dengan isu-isu survival dan kelangsungan hidup.
“(Ketiga) kegagalan kerajaan untuk mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat terbela terutamanya dalam memantau segala inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik termasuk aspek perbelanjaan, perolehan dan segala usaha vaksinasi,” katanya.
Beliau berkata, keempat kegagalan kerajaan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori.
“Ini termasuklah tuntutan moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi-agensi kerajaan lain seperti LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti BPR, BPN dan BKC yang lambat dan amat terhad hingga ramai tercicir dan terpaksa melalui karenah birokrasi yang membebankan,” katanya.
Kelima katanya, kegagalan kerajaan untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh diri serta gerakan #BenderaPutih adalah satu contoh manifestasi kekecewaan dan protes rakyat terhadap kegagalan kerajaan.
“(Keenam) kegagalan kerajaan mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik. Indeks Pengendalian COVID-19 yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ke-3 paling corot antara 53 negara ekonomi utama,” katanya.
Sementara terakhir, Ahmad Zahid berkata, ia disebabkan kegagalan kerajaan yang jelas memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media dan titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
“Selaku parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO, UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan terhadap institusi raja,” katanya.-BH
Leave a Reply