Tiga Hari Kuarantin Istimewa Menteri, Rakyat 10 Hari

tiga hari kuarantin istimewa menteri

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan tempoh yang ditetapkan hanya tiga hari kuarantin kepada jemaah menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara.

Beliau bertanya adakah kelonggaran sama boleh diberikan kepada beliau jika pulang dari luar negara.

“Bolehkah kalau saya ke luar negara saya hanya dikuarantin tiga hari?

“Apakah beza tubuh saya dengan tubuh mereka yang mendapat kelonggaran ‘istimewa’?” tulisnya dalam ciapan di Twitter pada Selasa.

Baca: Godaan Rasuah Integriti Ahli Politik, Penjawat Awam Tergadai

Beliau menyentuh prosedur operasi standard (SOP) terbaharu ditetapkan dalam dokumen pewartaan yang disiarkan dalam portal rasmi e-warta Persekutuan semalam.

Dokumen perintah berjudul ‘Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021’ itu dikeluarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba mengikut kuasa (Akta 342) seksyen 29 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Berkuat kuasa hari ini, jemaah menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara tidak perlu menjalani SOP tempoh kuarantin 10 hari seperti ditetapkan sejak 14 Disember 2020.

Pengecualian sehingga 1 Ogos 2021 itu menetapkan jemaah menteri hanya perlu menjalani pemerhatian selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.-SH

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pelonggaran tempoh kuarantin hanya tiga hari kepada menteri pulang dari lawatan luar negara bakal mengundang risiko lebih bahaya kerana Covid-19 berjangkit tidak mengira pangkat seseorang.

Najib berpandangan, keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu juga boleh membawa negara kepada keadaan lebih buruk seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun lalu.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pekan berkata, secara purata virus Covid-19 mengambil tempoh lima hingga enam hari untuk proses inkubasi.

“Ada bahayanya jika mereka yang telah dijangkit, salah dilepaskan terlalu awal lalu menjangkiti ramai lagi orang setelah disangka mereka bebas daripada Covid-19.

“Ini terbukti semasa kuarantin kendiri tiga hari pada mulanya dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mereka yang pulang dari PRN Sabah,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Rabu.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengeluarkan perintah melonggarkan peraturan kuarantin kepada rakan-rakan anggota Kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.

Perintah tersebut pada dasarnya mengurangkan tempoh kuarantin menteri daripada 10 kepada hanya tiga hari.

Perintah itu dinamakan ‘Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021’ diterbitkan Warta Persekutuan yang ditandatangani Adham berkuatkuasa pada Rabu.-SH

About admin 1105 Articles
Informasi, Fakta, Perkongsian Bermanfaat, Sejarah, Sukan dan Tidak Ketinggalan Berita Viral dan Hiburan

Be the first to comment

Leave a Reply