Tidur Hanya 30 Minit Sehari Sejak 12 Tahun, Demi Nikmati Hidup
Sebelum ini kita dikejutkan dengan kemampuan seorang lelaki di India yang mampu tidur sehingga 300 hari setahun selama 23 tahun, bertentangan dengan seorang lelaki di Jepun yang mendakwa hanya tidur selama 30 minit sehari sejak 12 tahun lalu.
Oddity Central melaporkan Daisuke Hori, 36, mengakui tidak mengalami kesan sampingan negatif walaupun waktu tidurnya terlalu singkat berbanding tempoh normal iaitu lapan jam sehari.
Menariknya, Hori yang juga Ketua Persatuan Tidur Singkat Jepun turut mengajar individu lain bagaimana dapat mengurangkan waktu lena supaya dapat menikmati kehidupan lebih banyak.
Terbaru, Hori muncul dalam sebuah program televisyen Jepun yang popular dan berkongsi mengenai jadual tidurnya yang kontroversi.
Segalanya bermula apabila Hori sering berasa tempoh 16 jam tidak cukup untuk melakukan semua perkara yang dia mahukan setiap hari, maka dia cuba meneliti dan bereksperimen dengan memendekkan waktu tidur hariannya.
Dalam beberapa tahun, Hori berjaya melakukannya iaitu dari lapan jam menjadi 30 minit saja waktu tidur setiap hari tetapi tetap sihat dan bertenaga.
Oleh kerana gaya hidupnya yang pelik, penerbit rancangan mencabar Hori untuk menunjukkan rutin hariannya menerusi kamera selama tiga hari.
Tidur Hanya 30 Minit Sehari Sejak 12 Tahun, Demi Nikmati Hidup
Dia menyahut cabaran itu dengan membawa kru program mengikuti rutin hariannya dan dapat buktikan dirinya hanya tidur 30 minit, ada kalanya kurang dari tempoh itu dalam sehari.
Pada hari pertama, Daisuke bangun pada jam 8 pagi dan mulakan rutin harian dengan ke gimnasium, membaca buku, menulis beberapa artikel untuk ruangan mingguan, bermain permainan video kemudian pergi menemui beberapa rakan untuk makan malam.
Selepas makan, dia membuat beberapa klip video pendek mengenai rutin tidur untuk saluran YouTubenya.
Selesai membuat rakaman, Hori makan lagi, melakukan kerja rumah dan bersembang dengan individu dalam talian.
Kira-kira jam 2 pagi, tiba masa untuk Hori tidur namun dia hanya lelapkan mata selama 26 minit sebelum bangun tanpa memerlukan jam penggera.
Selepas bangun tidur, dia terus bersiap dan pergi melepak dengan beberapa rakan sebelum ke gimnasium dan akhirnya pulang.
Sepanjang tiga hari rakaman dan tempoh cabaran, Hori menghabiskan malamnya bermain permainan video dan mahjong selain bersembang dengan rakannya yang juga tidur sekejap saja.
Mereka semua berlatih bersama untuk memendekkan waktu tidur harian supaya dapat menikmati masa yang lebih berkualiti bersama.
Penonton teruja untuk mengetahui bagaimana Hori menghilangkan mengantuk selepas makan kerana ramai berdepan masalah itu disebabkan lonjakan insulin.
Hori mendedahkan rahsianya adalah dengan mengambil kafein bagi mengelakkan tertidur sehingga tahap insulin kembali normal.
Meskipun sudah menunjukkan rutin tidurnya di televisyen nasional, masih ramai tidak percaya apa dilakukan Hori walaupun lelaki itu menjelaskan perubahan dilakukan secara berperingkat dalam beberapa tahun.-hmetro
Leave a Reply