Syarikat Jack Ma Didenda RM4.5 Bilion

Syarikat Jack Ma Didenda RM4.5 Bilion

Syarikat Jack Ma Didenda RM4.5 Bilion

Pihak berkuasa kewangan China mendenda syarikat diasaskan jutawan Jack Ma, Ant Group, dengan jumlah kira-kira 7.1 bilion yuan (RM4.5 bilion), lapor CNN.

Suruhanjaya Kawal Selia Sekuriti China, Bank Rakyat China dan Pentadbiran Kawal Selia Kewangan Nasional berkata, tindakan itu diambil selepas Ant Group didapati melanggar peraturan berkaitan perlindungan pengguna dan tadbir urus korporat.

Katanya, Ant Group juga melanggar peraturan berkaitan dengan aktiviti perniagaan dalam perbankan dan insurans, pembayaran, pencegahan pengubahan wang haram dan penjualan dana.

Sementara itu, Ant Group dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berlapang dada menerima hukuman itu.

“Kami akan mematuhi syarat penalti dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan dan terus meningkatkan lagi tadbir urus pematuhan kami,” kata syarikat itu.

Ant Group ialah gabungan gergasi e-dagang Alibaba yang diasaskan Ma.

Saham dalam Alibaba meningkat secara mendadak Jumaat lalu.

Tindakan keras kawal selia yang bermula sejak November 2020 apabila Ant Group terpaksa menggantung tawaran awam permulaan (IPO) miliknya hanya beberapa hari sebelum pelancaran.

Ia pada masa itu berada di landasan untuk mengumpul AS$37 bilion (RM172 bilion) dan menjadi jualan saham terbesar dalam sejarah.

Sejak itu, Kerajaan China menjalankan kempen mengekang perusahaan swasta negara itu yang menjadi terlalu berkuasa di mata Parti Komunis yang memerintah.

Pada April 2021, Alibaba didenda 18.2 bilion yuan (RM11.7 bilion), jumlah rekod untuk China kerana berkelakuan seperti monopoli.

Pada bulan sama, Ma menyerahkan kawalan ke atas Ant Group selepas syarikat itu menghabiskan masa dua tahun lalu merombak perniagaannya daripada pinjaman pengguna kepada produk insurans bagi ‘meredakan’ tindakan kawal selia daripada pihak berkuasa kewangan.

Sejak itu, Alibaba mengumumkan rancangan untuk membahagikan perniagaannya kepada enam unit berasingan dengan setiap satu diselia ketua eksekutif dan lembaga pengarahnya sendiri.

Alibaba berkata, pihaknya berharap struktur baharu itu akan membolehkannya membina lebih banyak syarikat yang boleh mencipta lebih banyak nilai untuk pelabur.-hmetro

About admin 1105 Articles
Informasi, Fakta, Perkongsian Bermanfaat, Sejarah, Sukan dan Tidak Ketinggalan Berita Viral dan Hiburan

Be the first to comment

Leave a Reply