Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak kerajaan supaya memberikan kemudahan kepada rakyat yang terkesan susulan pandemik Covid-19 yang belum berakhir menerusi skim i-Sinar 2.0.
Beliau berkata, sekiranya jumlah pengeluaran tidak sebanyak i-Sinar 1.0, sekurang-kurangnya amaunnya separuh daripada sebelum ini.
“Lagipun tiada siapa dapat beri jaminan penularan Covid-19 dapat dibendung dengan cepat. Pendekatan ‘semi lockdown’ mengundang kebimbangan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akan berterusan untuk tempoh yang lebih lama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Baca: Pengeluaran i-sinar Akan Ditambah Baik Kata Menteri
Katanya, individu yang terkesan akan mengambil masa untuk pulih jika sektor ekonomi dan sosial kembali dibuka sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Justeru, pengeluaran skim i-Sinar 2.0 pasti akan membantu mereka untuk berusaha bangkit semula.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, cadangan tersebut bertepatan dengan rungutan orang ramai selepas Sekatan Pergerakan Penuh dibuat secara ‘suam-suam kuku’.
“Mereka bertambah mengeluh apabila kerajaan PN (Perikatan Nasional) lanjutkan lagi dua minggu ‘total lockdown’. Daripada pemilik perniagaan sehinggalah kepada pemandu teksi dan golongan penjaja.
“Mereka semua terkesan. Yang tidak dibenar beroperasi sudah pasti tiada pendapatan. Yang beroperasi pun susah cari makan.
“Abang burger perlu mula berniaga seawal tengah hari sedangkan majoriti rakyat makan nasi pada tengahari. Peniaga nasi lemak cuma boleh berniaga mula jam 8 pagi pada waktu ramai telah ke tempat kerja,” ujarnya.
Jelasnya lagi, keadaan kini bertambah sukar apabila harga barang semakin meningkat dan pekerja terpaksa mengikat perut disebabkan gaji dipotong atau elaun serta kerja lebih masa disekat.-SH
Leave a Reply