Sindiket Kelahiran Palsu Sebagai ‘Anak Kandung’, Doktor Jadi Dalang

Sindiket Kelahiran Palsu Sebagai 'Anak Kandung', Doktor Jadi Dalang

Putrajaya: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan dua individu termasuk seorang doktor yang dipercayai mendalangi sindiket kelahiran palsu ataupun pemalsuan maklumat kelahiran.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh, penahanan dua individu terbabit dalam sindiket berkenaan menyelesaikan sebahagian sindiket pemalsuan maklumat kelahiran yang dijejak pihaknya sejak tahun 2009.

Katanya, dua individu terbabit adalah doktor yang mengesahkan maklumat kelahiran palsu serta seorang ejen.

Baca: Sepasang Kekasih Ditahan, Edar & Positif Dadah, RM245,515 Disita

“Ejen terbabit ditangkap di rumahnya di Melaka manakala doktor itu pula di Putrajaya. Doktor berkenaan berkhidmat di sebuah klinik bersalin swasta terletak di Petaling Jaya,” katanya dalam sidang media khas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai sindiket terbabit, Ruslin berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menawarkan pendaftaran sebagai anak kandung kepada anak angkat yang diambil pasangan yang tidak mempunyai anak.

“Doktor yang terbabit dalam sindiket itu akan mengesahkan Borang Kelahiran LM01 yang dikeluarkan oleh JPN sebelum membuat pendaftaran kelahiran.

“Sindiket kemudiannya akan memasukkan maklumat bayi serta ‘ibu bapa’ seolah olah ia adalah anak kandung mereka dan ejen akan hadir bersama pasangan terbabit bagi menguruskan pendaftaran bayi ini di JPN,” katanya.

Ruslin berkata, kebanyakan ibu bapa kandung kepada bayi berkenaan tidak dikenali kerana segala urusan penyerahan bayi terbabit diatur sindiket.

“Setiap urusan bagi sindiket ini dikenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM20,000 dan kita tidak menolak kemungkinan ia mungkin membabitkan isu pemerdagangan manusia. Atas sebab itu kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kes berkenaan,” katanya.

Tambahnya, lebih 200 rekod kelahiran di JPN sudah disenarai hitam dan kanak-kanak yang terbabit dalam sindiket berkenaan kini sudah berusia antara 12 hingga 16 tahun.

“Senarai hitam itu dibuat kerana kita mengesyaki terdapat penipuan ketika pendaftaran yang dilakukan klinik berkenaan. Kebiasaannya bila sudah mencecah usia 12 tahun, kanak-kanak ini akan hadir ke JPN bagi memohon Kad Pengenalan.

“Bagaimanapun urusan itu tidak dapat diproses kerana rekod kelahiran mereka sudah disenarai hitam. Kita seru supaya pasangan yang yang terbabit dalam sindiket ini untuk hadir memberikan kerjasama bagi menyelesaikan isu pendaftaran ‘anak angkat’ mereka,” katanya.

Ketika ditanya status anak angkat pasangan terbabit, Ruslin berkata, kanak-kanak berkenaan perlu diletak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat sementara waktu.

“Pasangan itu perlu melalui proses pengambilan anak angkat yang sebenarnya sebelum mengambil semula kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan ada ramai lagi yang terbabit dengan sindiket itu kerana terdapat beberapa klinik swasta antaranya di Melaka, Johor serta Pulau Pinang turut menjalankan kegiatan sama.

“Namun pihak JPN difahamkan semua klinik itu sudah tutup,” katanya.-hmetro

About admin 1248 Articles
Informasi, Fakta, Perkongsian Bermanfaat, Sejarah, Sukan dan Tidak Ketinggalan Berita Viral dan Hiburan

Be the first to comment

Leave a Reply