
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan satu sindiket kartel projek susulan penahanan tujuh individu termasuk seorang ketua sindiket berusia 47 tahun lewat tengah malam pada ahad.
Menurut sumber, sindiket kartel projek ini memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek sebanyak RM3.6 billion.
Menurutnya, sindiket ini sudah beroperasi sejak 2014 hingga sekarang.
“Ketua sindiket ini mengawal lebih 150 syarikat yang digunakan untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi terbabit,” katanya.
Menurutnya, suspek dikatakan mewujudkan 150 syarikat yang berbeza dengan menggajikan individu-individu sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki beliau sendiri.
“Tumpuan sindiket ialah terhadap projek penyelenggaraan fasiliti dan projek-projek pembangunan.
“Selain itu, sindiket ini dipercayai mendapat kerjasama “orang dalam” untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan masuk tender atau sebut harga dan memastikan salah satu daripadanya berjaya,” katanya.
Menurutnya, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada orang dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender dan sebutharga.
“Taktik, mengepung harga iaitu dengan menyertai sesuatu tender dengan menggunakan sejumlah besar syarikat yang berada di bawah kawalan ketua sindiket. Syarikat-syarikat terbabit akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza-beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan.
“Hasil risikan yang dijalankan juga mendapati sindiket ini menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat-syarikat di bawah naungannya. Setiap individu akan dibayar gaji bulan dan komisyen sebagai imbuhan bagi penggunaan nama dan butir-butir peribadi, “katanya.
Katanya, dipercayai butir-butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu.
“Setiap syarikat juga dikatakan menggunakan penyata kewangan palsu untuk melayakkan mereka memasuki tender atau sebutharga berkenaan.
“Satu intipan dan pemantauan dijalankan di pusat operasi sindiket ini malam tadi di mana hampir keseluruhan ahli-ahli sindiket berkumpul untuk mengisi borang-borang tender. Serbuan SPRM mengejutkan semua yang hadir dan beberapa tangkapan dibuat malam tadi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut seksyen 17 dan 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Katanya, beliau tidak menolak lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.-hmetro
Leave a Reply