Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dalam proses mendapatkan senarai nama pegawai dan anggota polis didakwa bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya, berkata pihaknya akan sentiasa berhubung dengan polis Johor bagi mendapatkan maklumat penuh berhubung pembabitan penguat kuasa terbabit.
Baca: 34 Termasuk Polis Lindungi Nicky Liow Soon Hee, Pindah Jutaan Wang
“JIPS Bukit Aman kesal kerana perbuatan sedemikian masih berlaku walaupun banyak peringatan dan amaran dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
“Saya sudah menghubungi Ketua Polis Johor (Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay) bagi mendapatkan senarai nama mereka yang dipercayai terbabit.
“Setiap maklumat penting bagi membantu siasatan JIPS berhubung perkara berkenaan,” katanya kepada BH, hari ini.
Zamri berkata, fokus siasatan JIPS menjurus terhadap usaha mengenal pasti pegawai dan anggota didapati menyalahi tata kelakuan dan disiplin.
Katanya, JIPS akan menyiasat salah guna kuasa mereka yang didapati melindungi dan tidak mengambil tindakan ke atas Geng Nicky kerana menerima habuan tertentu.
“Tindakan keras termasuk hukuman buang kerja akan diambil ke atas pegawai dan anggota terbabit dengan Geng Nicky,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan kebocoran maklumat mengenai Operasi Pelican 3.0 yang dilaksanakan oleh Polis Kontinjen Johor, mengenai serbuan di kawasan Setia Walk, Puchong, menyebabkan suspek utama Nicky Liow, melarikan diri.
Nicky Liow, 33, dipercayai mendapat maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada dalam kawalannya, termasuk seorang bekas timbalan pendakwa raya.
Polis mengesyaki sekurang-kurangnya 34 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguat kuasa melindungi kegiatan Geng Nicky.-BH
Leave a Reply