
Pintasan Jantung 3 Kali Lelaki 77 Tahun Cipta Rekod
Pada usia 31 tahun, Colin Hancock banyak menghabiskan masanya berada di hospital termasuk untuk menjalani pembedahan pintasan jantung.
Dalam tempoh setahun itu, dia menjalani pembedahan itu sebanyak tiga kali, dan dia diberitahu bahawa dia akan menghadapi masalah jantung sepanjang hayatnya, selain tiada kepastian berapa lama akan hidup.
Menurut portal Rekod Dunia Guinness (GWR), 4 Ogos 2023 menandakan 45 tahun 361 hari sejak Colin menjalani pembedahan dan dia yang kini berusia 77 tahun disahkan secara rasmi sebagai pesakit pintasan jantung tiga kali yang paling lama bertahan di dunia.
Rekod terdahulu adalah milik Delbert Dale McBee dari Amerika Syarikat (AS) yang meninggal dunia pada 2015 pada usia 90 tahun, iaitu 41 tahun 63 hari selepas pembedahannya.
Colin menggambarkan dirinya ketika berusia 30 tahun sebagai sangat cergas. Dia bermain pelbagai sukan dan melakukan latihan litar, dan tiada tanda bahawa dia mempunyai masalah jantung.
Dia bagaimanapun mengakui tidak mempunyai diet yang sihat, dan semasa dia kecil, banyak makan makanan berlemak dengan makanan kegemarannya ialah telur dan kerepek yang dimasak dalam lemak babi.
Colin juga mempunyai gangguan genetik yang menyebabkan kolesterol tinggi dan penyakit jantung koronari.
Tanda pertamanya bahawa ada sesuatu yang tidak kena datang apabila dia merasakan sakit yang tajam di bahagian tengah dadanya semasa dia berlari.
Colin bukan perokok dan peminum arak, jadi dia tidak mempunyai sebarang masalah dalam hal itu.
Pada masa kini, Colin mengakui dia meringankan dietnya sedikit.
“Maksud saya, saya sudah berusia 77 tahun dan tidak pernah terfikir saya akan melepasi hingga usia sebegini.
“Saya percaya bahawa statin (ubat penurun kolesterol) memainkan peranan besar dalam saya melalui umur panjang,” katanya.
Colin terus bersenam hingga ke hari ini, dan terutamanya gemar bermain bola sepak dan berjalan kaki.
Apa yang luar biasa, dia masih mampu menunggang basikal lumbanya mendaki bukit yang curam!
“Saya tidak pernah menyangka saya boleh pergi sejauh ini dan masih boleh melakukan apa yang saya masih boleh buat sewaktu muda dulu,” kata Colin.-hmetro
Leave a Reply