Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan menerusi aplikasi Zoom dengan ahli Majlis Pimpinan Pusat serta ahli-ahli Parlimen parti itu.
Pucuk pimpinan parti melalui Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, memberi penerangan mengenai situasi terkini termasuk pertemuan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada minggu hadapan.
Menurutnya, Anwar memberi penekanan kepada jurucakap Parlimen PKR tentang keperluan sentiasa bekerja keras di portfolio masing-masing, tidak kira di dalam atau luar Parlimen dan bukan pendirian parti semata-mata, tetapi perlu bertindak sebagai penjaga kepentingan awam mengikut portfolio masing-masing.
“Penting untuk mereka bekerja secara aktif dan sering berinteraksi dengan pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran berkaitan dengan sektor yang berada di bawah portfolio mereka. Hanya dengan mendengarkan rintihan rakyat kita dapat mengenal pasti cara untuk membantu negara kita pulih dan makmur,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menggesa semua anggota PKR untuk terus berkhidmat dan membantu masyarakat setempat tatkala negara sedang berdepan wabak COVID-19 ini.
“Anwar memberi penekanan khusus kepada Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan agar bekerja keras tangani cabaran rakyat di negeri-negeri tersebut akibat wabak COVID-19.
“Walaupun pelbagai SOP yang berkaitan dengan kesihatan perlu dipatuhi, kita harus tetap membantu rakyat Malaysia, terutama anggota masyarakat kita yang paling berisiko,” tambah beliau.
Sumber: Astro awani
Leave a Reply