Pakat Bunuh Suami Sendiri, Wanita Ditahan

Pakat Bunuh Suami Sendiri, Wanita Ditahan

Pakat Bunuh Suami Sendiri, Wanita Ditahan

Klang: Seorang wanita ditahan selepas dipercayai menjadi dalang dalam rancangan pembunuhan suaminya di Taman Aneka Baru, Sungai Udang, dekat sini pada 15 September lalu.

Selain wanita berusia 37 tahun itu, turut ditahan adalah empat lelaki tempatan yang juga kenalannya yang berusia 20 hingga 36 tahun.

Baca: Lelaki Disiasat Bunuh Isteri Dua Hari Selepas Beli Insuran RM1.04 Juta

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam kejadian pada awal pagi itu, seorang lelaki berusia 41 tahun maut dipercayai ditikam sekumpulan lelaki yang ingin menyamun rumahnya.

Katanya, terdahulu Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan menerima panggilan memaklumkan pergaduhan antara sekumpulan lelaki serta melihat seorang lelaki berlumuran darah di sebuah rumah teres sekitar jam 2.14 pagi.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis ke tempat kejadian dan mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah yang kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Berdasarkan keterangan isteri mangsa, terdapat dua lelaki berpakaian hitam serta memakai topeng memasuki rumah mereka dan menikam suaminya sebelum bertindak menggeledah rumah serta mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barangan kemas, dan wang tunai berjumlah RM40,000.

“Suspek berkenaan kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan jenis BMW dan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM100,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga memperolehi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian yang boleh membantu siasatan.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati mangsa mempunyai lebih daripada 14 tikaman di bahagian badan yang menjadi punca kematian.

“Bertindak atas maklumat, isteri mangsa ditahan pada jam 10 malam hari sama di rumahnya dan siasatan lanjut membongkar kejadian sebenar yang mana wanita itu membuat perancangan dan persiapan untuk membunuh suami sendiri.

“Motif pembunuhan itu dipercayai akibat dendam serta kepentingan diri. Dalam pada itu, susulan penahanan suspek, beberapa siri tangkapan dilakukan terhadap empat lelaki di sekitar Klang dan Senawang, Negeri Sembilan yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau,” katanya.

Arjunaidi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, kesemua tahanan direman lima hari dan kertas siasatan akan dilengkapkan seterusnya diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.-hmetro

About admin 1197 Articles
Informasi, Fakta, Perkongsian Bermanfaat, Sejarah, Sukan dan Tidak Ketinggalan Berita Viral dan Hiburan

Be the first to comment

Leave a Reply