
Tan Sri Musa Aman dalam surat terbukanya mendakwa Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai punca berlakunya lonjakan kes COVID-19 di seluruh negara terutamanya di Sabah.
Dalam surat itu, Musa menyangkal dakwaan bahawa lonjakan kes COVID-19 disebabkan cubaannya merampas kuasa ketua menteri sehingga memaksa pilihan raya negeri (PRN) Sabah diadakan bulan lalu.
Musa menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah yang tidak berasas.
Dalam satu surat terbuka itu, beliau terpanggil untuk memberi respon mengenai punca sebenar peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini.
Ia katanya bagi menjelaskan punca sebenar peningkatan kes COVID-19 di Malaysia dan membuka mata rakyat terhadap pembohongan serta fitnah yang didalangi jentera propaganda WARISAN Plus.
Katanya WARISAN Plus wajar mengakui punca sebenar peningkatan kes COVID-19 di Sabah dan seluruh negara dan bukannya menyalahkan saya serta kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam pada itu, Musa menjelaskan pihaknya juga tidak pernah memohon untuk membubarkan DUN di samping tiada sebarang kuasa untuk membubarkannya.
“Saya ingin menegaskan, tiada mana-mana 32 bekas ADUN yang menyatakan sokongan terhadap saya untuk membentuk kerajaan negeri pada 29 Julai lepas mahupun saya sendiri pernah memohon DUN dibubarkan atau PRN diadakan di pertengahan pandemik.
“Lebih penting, tiada mana-mana antara 32 ADUN itu atau saya mempunyai kuasa untuk meminta DUN dibubarkan. PRN diadakan itu berpunca daripada nasihat yang salah untuk membubarkan DUN.
“Mengambil kira ancaman terhadap nyawa rakyat Sabah, kami mengarahkan peguam supaya memohon penangguhan PRN kerana adalah berbahaya untuk diadakan dalam suasana pandemik berleluasa,” katanya.
Menyedari hal terbabit, Musa menjelaskan beliau menggunakan cara undang-undang bagi menangguhkan PRN Sabah.
“Peguam utama kami merayu dengan panjang lebar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagi memohon agar membenarkan penangguhan kerana kami tidak mahu membahayakan nyawa rakyat.
“Bagaimanapun, peguam mewakili bekas ketua menteri (Mohd Shafie) dan kerajaan negeri Sabah keras menentang kami dan menyifatkannya sebagai hujah terdesak untuk menghalang pilihan raya. Saya menolak keras dakwaan bahawa ia adalah hujah terdesak.
“Dalam hal ini, Shafie mesti memberi penjelasan kepada rakyat Sabah mengapa peguamnya menolak permohonan penangguhan PRN ketika pandemik.
“Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan daripada pentadbiran negeri terdahulu mengapa DUN dibubarkan dan PRN diteruskan,” katanya.
Musa berkata, peningkatan mendadak kes COVID amat jelas berpunca daripada pihak WARISAN Plus yang menyebabkan PRN diadakan dengan membubarkan DUN.
Sumber: BH Online
Artikel Menarik:
5 Tips Untuk Isteri Hamil
Pelajar 15 Tahun Dirogol Lelaki Baru Dikenali Seminggu
Leave a Reply