
Berita pengumuman penemuan vaksin Covid-19 yang memberi kelegaan kepada semua orang di dunia termasuk di Malaysia menjadi faktor utama penurunan harga emas secara mendadak sejak kebelakangan ini.
Perunding Pelaburan Emas Syukor Hashim berkata, dari awal Januari sehingga Ogos tahun ini, berlaku trend kenaikan harga emas sebanyak 37 peratus dan pernah melebihi RM300 segram, namun harga itu jatuh semula dan terkini, RM256 segram.
“Punca harga emas naik itu disebabkan ancaman Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi seluruh dunia dan orang ramai tidak berani berbelanja yang secara tidak langsung menyebabkan pelabur memilih emas sebagai aset selamat.
Media sebelum ini melaporkan orang ramai berpusu-pusu ke kedai emas untuk mengambil peluang membeli barang kemas sebagai simpanan pelaburan sehingga ada antara mereka mengabaikan SOP Covid-19 semasa urusan jual beli di kedai.
Ditanya mengenai bila jangkaan penurunan harga emas ini akan berakhir, Syukor berkata, ia tidak boleh dijangka kerana ia dipengaruhi berita dari semasa ke semasa yang memberi kesan kepada naik turun harga emas.
“Sebagai contoh, bagaimana proses peralihan kuasa Amerika Syarikat antara Joe Biden dengan Donald Trump, sekiranya ada ‘drama’ antara mereka harga emas boleh naik semula begitu juga implikasi berita politik mengenai Iran yang mendakwa saintis nuklearnya dibunuh oleh Israel.
“Dengan kata lain, harga emas naik bukan berpunca daripada Covid-19 sahaja tapi banyak faktor lain namun faktor utama tahun ini adalah wabak itu,” katanya sambil menambah apa sahaja situasi yang berlaku di Malaysia tidak mempengaruhi langsung perubahan harga emas.
“Kejatuhan harga emas, menyebabkan pembeli mengambil kesempatan untuk menukar barang kemas lama dan ada juga yang mahu menempah yang baharu sebagai simpanan pelaburan dan aksesori untuk dipakai.
“Walaupun jumlah pembeli ramai, prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dalam kedai, nama dan suhu tetap direkod mengambil kira situasi jumlah kes yang masih tinggi di negara ini,” katanya.-hmetro
Leave a Reply