Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kelmarin menggantung jawatan seorang pemimpin bahagian parti itu yang dikaitkan dengan dakwaan mencabul peserta Unduk Ngadau atau Ratu Kaamatan, baru-baru ini.
Setiausaha Agung STAR, Senator Datuk Guandee Kohoi, berkata parti itu juga akan mengambil tindakan susulan, sama ada menggantung keahlian atau memecatnya terus selepas Lembaga Disiplin parti bersidang.
Katanya, tindakan yang diambil terhadap individu terbabit menunjukkan keterbukaan kepemimpinan parti itu untuk mendengar keluhan dan aduan daripada semua pihak, terutama ahli STAR Sabah.
Baca: Cabul Gadis, Lelaki Dikenakan Hukuman Menjijikkan
“Setakat ini ada dua laporan polis terhadap seorang ahli parti yang viral di media sosial. Laporan pertama daripada seorang peserta Unduk Ngadau yang mendakwa diperlakukan tidak senonoh, manakala laporan kedua pula dibuat pengawal keselamatan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang yang mendakwa dikasari oleh beliau.
“STAR mengambil berat mengenai perkara ini. STAR Sabah adalah parti yang berperlembagaan dan segala perkara hendaklah diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata polis akan menyiasat laporan polis seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri mengenai dakwaan dicabul seorang lelaki yang juga ahli jawatankuasa penganjur pertandingan itu.
Hazani berkata, hasil siasatan berhubung perkara itu akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Berdasarkan salinan laporan polis bertarikh 21 Mei lalu yang tersebar di media sosial, peserta Unduk Ngadau terbabit mendakwa diraba di paha, tangan, leher dan belakangnya dalam sebuah kereta ketika mengikut suspek keluar makan malam di Kota Kinabalu.-hmetro
Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap laporan dibuat seorang peserta Unduk Ngadau, baru-baru ini, mendakwa dicabul salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) penganjur pertandingan itu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali, berkata pihaknya akan memanggil pengadu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan secara telus dan terperinci sebelum tindakan lanjut diambil.
“Siasatan terbabit tidak akan mengambil kira latar belakang sesiapa, termasuk individu yang didakwa.
“Sesiapa pun tidak boleh melangkaui undang-undang. Kita akan siasat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Mengulas lanjut, Hazani berkata, hasil siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut apabila siap nanti.
Satu laporan polis bertarikh 21 Mei lalu oleh seorang peserta Unduk Ngadau mendakwa diraba salah seorang AJK penganjur, tular dalam media sosial sejak semalam.-BH
Leave a Reply