Lelaki yang juga pemilik syarikat pembersihan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas sembilan tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya sejak September tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 42 tahun itu mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Hazani Hamzah.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan membantah sebarang permohonan ikat jamin kerana membabitkan kesalahan serius serta sudah dituduh atas 50 pertuduhan.
Dalam kes ini mangsa hanya berusia 15 tahun dan merupakan anak kandung tertuduh dikhuatiri sekiranya jaminan dibenarkan tertuduh akan mengganggu mangsa dan melarikan diri.
Sekiranya jaminan dibenarkan pendakwaan memohon jumlah tinggi diberikan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan perlu menguruskan syarikat dan kebajikan pekerja serta menjaga tiga kakak dan seorang adik yang menghidap kanser tahap tiga.
“Saya juga mempunyai seorang isteri dan empat anak di bawah jagaan serta bimbang keselamatan mereka dalam keadaan Covid-19 ini.
“Segala tuduhan terhadap saya hanyalah spekulasi semata-mata kerana saya belum didapati bersalah selain mangsa kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM),” katanya
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes dan melantik peguam.
Semalam, tertuduh sudah didakwa di Mahkamah Sesyen sama atas 41 tuduhan merogol, persetubuhan luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang dilakukan setiap bulan secara berterusan sejak Januari tahun ini.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa melarikan diri dari rumah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras sebelum ditahan polis kerana mangsa tiada permit perjalanan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kredit: Harian Metro
Baca info: Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar
Leave a Reply