
Lebih 200 peniaga sayur tanah tinggi di Kundasang terjejas pendapatan harian apabila tiada pelancong atau pelanggan dari luar yang singgah ke daerah berkenaan.
Mariana Taliban, Pengerusi Persatuan Penjaja Kundasang berkata daripada 228 peniaga di gerai sayur dan buah, hanya kira-kira 30 peniaga yang masih berjual setakat ini.
Keadaan itu turut disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan, selain peniaga tiada modal untuk berniaga terutama penjaja buah-buahan.
Beliau memaklumkan, pendapatan harian mereka yang bergantung sepenuhnya dengan jualan sayur atau buah-buahan memang terjejas teruk. Ini kerana kebanyakan pelanggan kami di gerai ini lebih kepada orang luar seperti pelancong atau yang singgah sebelum meneruskan ke daerah lain.
Pada musim ini, para peniaga hanya mengharapkan penduduk setempat sahaja untuk membeli dan kadang-kadang tidak sampai 20 orang pelanggan satu hari. Jika ada pun orang luar yang singgah, lazimnya hanya mereka yang dapat merentas daerah atas urusan kerja.
Purata pendapatan satu hari hanya memperoleh RM50 sahaja berbanding sebelum ini yang mencecah hingga lebih RM400 sehari jelas Mariana. Persatuan Penjaja Kundasang mempunyai 228 ahli merangkumi peniaga di gerai sayur, buah, bunga, ikan, runcit dan pemborong, dengan 164 adalah penjual sayur.
Harapan peniaga-peniaga ini supaya kerajaan akan memberi bantuan. Ini termasuk bantuan bakul makanan yang diharapkan bukan hanya kepada mereka yang kuarantin tetapi semua peniaga yang terjejas pendapatan.
Kredit: Berita Harian
Baca info: Bantuan Khas COVID-19 Permohonan Sehingga 31 Disember 2020
Leave a Reply