Kes Bunuh Kartini Borhan, Inspektor Polis Dihukum Mati

kes bunuh kartini

Seorang inspektor polis dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Khamis, kerana membunuh seorang ibu tunggal. Kes bunuh Kartini Borhan belaku di Keningau sepuluh tahun yang lepas.

Ahmad Rizal Umar (gambar), 37, didapati bersalah oleh Hakim Datuk Nurchaya Arshad kerana membunuh Kartini Borhan, 27, antara jam 4 pagi dan 5 pagi 29 September 2011 di sebuah rumah di Taman Adika, Keningau.

Ahmad Rizal merupakan inspektor polis yang ditugaskan di Balai Polis Keningau pada waktu kejadian itu.

Baca: 7 Kes Bunuh Kejam Di Malaysia Yang Ngeri Dan Ganas

Ahmad Rizal kelihatan gelisah dan kerap berpaling untuk melihat ke arah isterinya yang duduk di galeri awam dan ke arah pasukan peguamnya apabila Nurchaya menyampaikan keputusannya.

Tertuduh pada mulanya dilepaskan dan dibebaskan oleh seorang lagi Hakim Mahkamah Tinggi pada 22 Julai 2014 tanpa meminta dia membela diri.

Ahmad Rizal Omar

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 21 Mac 2018 memerintahnya membela diri susulan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Ahmad Rizal memilih untuk membela diri dengan memberi keterangan bersumpah pada 9 Oktober 2018.

Dia juga memanggil seorang ahli patologi forensik, Dr Bhupinder Singh sebagai saksi kedua dalam pembelaannya.

Terdahulu, Nurchaya dalam menyampaikan keputusan, menyatakan bahawa kematian Kartini disahkan oleh Dr Jessie Hiu, seorang ahli patologi yang melakukan bedah siasat mayat Kartini dan juga mengesahkan kematian berpunca dari luka tikam pada dadanya yang menghala ke bawah, memotong otot rusuk, paru-paru kiri, selaput jantung dan menembusi jantungnya dari atas kanan ke bawah.

kes bunuh kartini borhan

Mangsa dikenal pasti oleh bapanya, Borhan Sulaiman sebelum bedah siasat itu.

Pendakwaan melalui saksi-saksi mereka mendedahkan hubungan Ahmad Rizal dengan Kartini, di mana akhirnya wanita itu dibunuh oleh tertuduh.

Nurchaya selanjutnya menyatakan bahawa mahkamah mendapati kesan keseluruhan bukti pendakwaan membawa kepada inferens dan kesimpulan bahawa Ahmad Rizal adalah pelaku jenayah itu.

“Kehadiran tertuduh di lokasi jenayah iaitu premis disebutkan sebelum ini di mana mangsa merupakan penyewa bilik pertama, tidak dipertikaikan.

“Terdapat kekurangan bukti mengenai pembabitan pihak ketiga yang ditegaskan oleh pembelaan, iaitu perompak yang menikam mangsa sehingga mati di samping mencederakan tertuduh.

“Ini disahkan oleh pendapat pakar perubatan (saksi ke-23 pendakwaan) yang mendapati bahawa kecederaan yang dialami oleh tertuduh telah dilakukan sendiri, tiada pihak ketiga terbabit tetapi hanya pergaduhan antara si mati dan tertuduh yang menyebabkan kematian mangsa. Kecederaan yang dikenakan pada si mati yang menyebabkan kematiannya telah disebabkan oleh tertuduh.

“Motif pembunuhan disebabkan oleh hubungan sulit tiga segi antara si mati dengan tertuduh, dan si mati dengan saksi ke-12 pendakwaan (Lim Guan Heng), yang berterusan sehingga kematian mangsa.

Tambahnya, hubungan sulit tiga segi itu akhirnya menyebabkan jenayah ghairah pada pagi 29 September 2011 yang bermula pada lewat malam 28 September 2011, dan membawa kepada kematian si mati.

Mengenai premis keterangan ahli patologi mengenai jenis kecederaan kepada dada si mati, Nurchaya berkata, bila dilihat secara objektif, ia menunjukkan bahawa kecederaan itu cukup untuk menyebabkan kematian; apabila jantung si mati ditembusi, kematian seharusnya akibat semula jadinya.

“Dengan itu, niat untuk menyebabkan kematian akan memuaskan syarat Seksyen 300 (C) Kanun Keseksaan,” kata Nurchaya.

Ahmad Rizal diwakili oleh peguam Ram Singh serta Ridwandean M. Borhan, Kimberly Ye dan Flavian Edward Henry.

Ram, apabila ditemui kemudian, berkata pembelaan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan tidak lama lagi.

Timbalan Pendakwa Raya Khairuddin Mohd Idris hadir untuk pendakwaan.

Pada 1 November 2011 Sabahkini telah menulis bahawa Ahmad Rizal Omar telah melakukan beberapa penipuan dan menyembunyi dan memalsukan beberapa fakta kes. Ikuti penulisan lengkap berikut:

Skandal pembunuhan ibu tunggal, Kartini Binti Borhan, kini memasuki fasa pertengahan selepas Polis membebaskan tertuduh, Inspektor Ahmad Omar dengan ikat jamin RM20,000 tanpa deposit sementara menunggu kes ini disebut di Mahkamah; seolah-olah satu episod daripada Persembahan Maharaja Lawak di Astro.

Seorang saksi yang menghubungi Sabahkini.net berkata, beliau dan beberapa rakan terkejut melihat Rizal memandu laju sebuah Proton Wira Hitam bernombor SU5539 A pada 29 Oktober 2011, lebih kurang jam 7.15 malam ke Barik Polis tempat beliau tinggal; sedangkan Daily Express keluaran 26 Oktober 2011 memaparkan gambar Rizal masih menggunakan tongkat kerana mengalami kecederaan di kaki.

Sehubungan itu, Sabahkini.net mendapat tahu bahawa bapa mangsa, Borhan Bin Sulaiman, 52, yang menetap di Kampung Banjar, Keningau membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu kerana bimbang dikasari atau dimarahi oleh pegawai polis di Balai Polis Keningau.

ahmad rizal omar

Dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Karamunsing, Keningau/4940/2011 yang diterima Koperal Norainie pada 1.30 petang, 30 Oktober 2011, Borhan mendakwa bahawa Rizal telah membuat laporan palsu dan mendesak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sejajar dengan undang-undang yang berkuatkuasa.

Borhan menyatakan bahawa pegawai polis, Ahmad Rizal Omar, 29, dikatakan telah mendapat panggilan daripada anak Borhan (mangsa), Kartini, 27, yang kononnya meminta bantuan apabila mendapati seorang lelaki tidak dikenali pada kira-kira jam 4.40 pagi berpusing-pusing di kawasan rumah mangsa.

Anggota polis itu kemudian bergegas ke rumah wanita terbabit dan mendapati pintunya terbuka sebelum melihat mangsa sedang bergelut dengan seorang lelaki yang memegang pisau lalu cuba memberi bantuan.

3 SEGI….Mungkinkah Cinta Tiga Segi menjadikan roh Kartini tidak tenang selagi Rizal masih bersama isterinya?

Dalam keadaan kelam-kabut, suspek nekad menikam anggota polis terbabit di kaki, bahu dan belakang badan menyebabkan mangsa berlumuran darah, sebelum suspek melarikan diri.

Pegawai polis yang dalam keadaan cedera ekoran pergelutan itu sempat melihat suspek menikam mangsa di badan dan terus meminta bantuan di balai polis sebelum dikejarkan ke Hospital Keningau untuk rawatan kecemasan.

Menurut Borhan, beliau terpaksa membuat laporan polis kali kedua kerana mengesyaki bahawa Ahmad Rizal Omar telah melakukan beberapa penipuan di dalam kes ini, termasuk menyembunyi dan memalsukan beberapa fakta berkenaan kes tersebut iaitu;

01.Membuat laporan polis mengatakan kejadian rompakan telah berlaku pada awal pagi kejadian, namun fakta menunjukkan bahawa tiada apa-apa tanda rompakan berlaku seperti pintu rumah langsung tiada tanda pecah masuk.

02.Menyatakan bahawa arwah Kartini ada menghubungi beliau pada awal pagi kejadian untuk meminta bantuan, sedangkan secara fakta tiada bukti panggilan daripada bil telefon arwah Kartini yang dikeluarkan oleh DiGi bertarikh 1 September – 30 September 2011.

03.Menurut Doktor Ganesan iaitu Doktor Forensik Kota Kinabalu yang menyatakan secara lisan kepada Borhan bahawa Kartini telah meninggal dunia kira-kira 3 jam lebih awal sebelum 5.30 pagi pada 29 September 2011 . Ini bererti kejadian bunuh tersebut terjadi sekitar 2.30 pagi dan amat bertentangan dengan laporan Ahmad Rizal Omar dari segi masa kejadian iaitu 4.40am menerima panggilan dan 5.15am menghantar arwah ke hospital.

04.Ahmad Rizal Omar mengaku sebagai ahli keluarga arwah Kartini semasa menghantar arwah Kartini ke hospital sedangkan mereka langsung tiada kaitan persaudaraan.

05.Dalam laporan Ahmad Rizal Omar meminta bantuan di Balai Polis Keningau selepas kejadian, tetapi kenapa tidak ada kereta ambulance atau pun kereta polis menghantar arwah ke hospital, tetapi hanya membawa arwah Kartini menggunakan kereta persendirian Ahmad Rizal Omar.

06.Menurut bil DiGi arwah Kartini pada pukul 10.30 pagi dan 16.47 petang pada 29 September 2011 selepas arwah Kartini meninggal dunia, terdapat panggilan keluar dibuat ke nombor 0138515934 (Azizi) dan ke 0138816607 (Ahmad Rizal Omar). Bolehkah bahan bukti digunakan kerana pada ketika itu telefon milik arwah telah berada di Balai Polis Keningau yang telah diambil oleh pihak polis untuk dijadikan barang bukti pembunuhan.

07.Laporan polis yang dibuat oleh Ahmad Rizal Omar disyaki merupakan suatu penipuan untuk menutup fakta kejadian sebenar, bahkan Ahmad Rizal Omar tidak ke Balai Polis Keningau untuk membuat laporan polis tersebut kerana beliau telah ditahan di wad hospital Keningau pada pagi itu.

Sehubungan itu, kata Borhan, beliau menggesa PDRM menyiasat segala penipuan yang dilakukan oleh Ahmad Rizal Omar dengan dibantu oleh beberapa anggota polis Balai Polis Keningau lain pada pagi kejadian.-sabahkini

About admin 1248 Articles
Informasi, Fakta, Perkongsian Bermanfaat, Sejarah, Sukan dan Tidak Ketinggalan Berita Viral dan Hiburan

Be the first to comment

Leave a Reply