
Jutawan Berjaya Ke Angkasa, 600 Tiket Terjual Melancong Di Angkasa Lepas
Jutawan Britain, Richard Branson, 70, menjadi jutawan pertama terbang ke angkasa lepas dengan kapal Virgin Galactic yang disifatkannya sebagai pengalaman seumur hidup.
Kapal itu mencapai ketinggian puncak sekitar 85 kilometer melepasi had ruang angkasa dalam tempoh sejam, memungkinkan penumpang merasai pengalaman sama seperti di angkasa lepas.
Kejayaan itu menjadikan Branson menyaingi rakan jutawan, Jeff Bezos dalam perlumbaan untuk menjadi hartawan pertama melintasi angkasa lepas menerusi kapal dibina syarikatnya.
“Tahniah kepada pasukan kami yang hebat di Virgin Galactic untuk pencapaian dan kerja keras selama 17 tahun ini,” katanya ketika siaran langsung kapal angkasa VSS Unity meluncur kembali ke Spaceport America di New Mexico.
Misi berprofil tinggi itu dilancarkan dari tapak operasi Virgin Galactic di Spaceport Amerika, New Mexico.
Turut berada dalam kapal angkasa itu ialah dua juruterbang dan empat penumpang, termasuk Branson.
Perjalanan bermula daripada pelancaran hingga pendaratan mengambil masa selama sejam.
Beliau berharap kejayaan itu mampu menjadi titik tolak untuk melancarkan era pelancongan angkasa yang menguntungkan.
Branson juga berperanan menilai pengalaman angkasawan persendirian bagi meningkatkan kualiti penerokaan angka lepas untuk pelanggan pada masa akan datang.
Ia berikutan pada tahun 2000-an, beberapa pelancong sudah melakukan perjalanan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tetapi menggunakan roket Russia.
Virgin Galactic merancang melakukan dua lagi penerbangan dan kemudian permulaan operasi komersial awal tahun 2022 dengan sasaran 400 penerbangan setiap tahun.
Sebanyak 600 tiket terjual kepada pelanggan dari 60 negara termasuk selebriti Hollywood bermula harga dari AS$200,000 (RM838,100) hingga AS$250,000 (RM1,047,625).
“Apabila kami kembali, saya akan mengumumkan sesuatu yang sangat menggembirakan untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang menjadi angkasawan,” katanya.
Persaingan di sektor pelancongan angkasa lepas yang diumumkan sejak bertahun lalu bakal menjadi kenyataan bulan ini.
Bezos, individu terkaya di dunia dijangka terbang ke angkasa lepas pada 20 Julai ini menerusi roket Blue Origin’s New Shepard.-BH
Leave a Reply