
Cara hadapi tekanan apabila terpaksa tinggal seorang diri sepanjang tempoh PKP ini berlangsung pastinya penting. Apa yang patut dilakukan agar tekanan ini tidak menjadi serius dan boleh menyebabkan keadaan yang lebih teruk?
Kita sering membaca berita bunuh diri akibat tekanan sepanjang PKP selama setahun ini bukan?
Tentu sukar untuk merasa gembira apabila terpaksa tinggal seorang diri, jauh dari keluarga dan rakan, hendak keluar menikmati alam juga tidak boleh. Sebanyak mana pun rancangan menarik di Netflix, tidak mungkin kita boleh menghabiskan masa hanya dihadapan tv tanpa merasa bosan. Sehingga satu tahap, tiada satu rancangan pun yang menarik minat. Permainan game yang menyeronokkan pada hari biasa juga mungkin menjadi sesuatu yang tidak bermakna lagi. Jadi, kami bawakan tips buat anda menghadapi hari-hari PKP ini walaupun seorang diri.
Hadapi masalah tekanan anda dengan tips berikut:
- Mungkin anda menganggap apa yang anda rasai adalah perkara kecil. Oleh itu, anda cuba mengabaikannya. Jangan buat begini, memendam dan mengabaikan perasaan hanya akan memburukkan keadaan. Tiada salahnya anda mengakui hakikat bahawa anda merasa sedih atau sunyi. Percayalah bahawa anda akan merasa lebih lega setelah menerima hakikat tentang perasaan anda.
- Aku sedih. Aku sunyi. Aku tertekan. Aku penat. Aku nak keluar. Aku rindu keluarga. Aku takut. Suarakan. Menyuarakan apa yang anda rasai boleh membantu anda menerima keadaan yang anda lalui dengan lebih mudah dan mengurangkan bebanan perasaan anda. Menyuarakan perasaan ini kepada orang lain tidak menunjukkan anda lemah, sebaliknya memudahkan untuk orang lain membantu anda, atau setidak-tidaknya berkongsi perasaan tersebut. Hubungi rakan, ahli keluarga atau seseorang yang menghadapi situasi yang sama. Sekurang-kurangnya anda tahu bahawa terdapat orang lain yang turut mengalami situasi seperti anda serta menghadapi tekanan perasaan yang sama. Mempunyai rakan seperti ini membolehkan anda saling menyokong antara satu sama lain walaupun hanya di alam maya.
- Sekarang bukan masanya untuk anda berfikir tentang diet atau menjadi seorang yang terlalu sempurna. Lakukan apa yang suka walaupun anda rasa tidak patut seperti makan satu tub ais krim. Makan satu bar coklat atau memesan sebiji kek kegemaran anda dari Secret Recipe. Anda sedang melalui satu tempoh yang getir. Percayalah, kewarasan akal anda lebih penting dari berat badan atau paras rupa anda ketika ini.Namun begitu, berpada-pada dalam melakukan perkara ini. Jika dilakukan sesekali boleh memberikan kegembiraan. Namun jika terlalu kerap boleh membahayakan kesihatan. Anda mahu sihat mental dan juga sihat fizikal.
Jika anda biasa berkaraoke dengan rakan di malam minggu, atau beriadah bersama teman istimewa. Jangan biarkan PKP menarik keseronokan dalam hidup anda. Kini segalanya di hujung jari. Sesi karaoke atas talian? Komunikasi video di atas “treadmill”? Mengapa tidak? Segalanya mungkin.
Keseronokan tidak semestinya hanya boleh dicapai apabila bersama rakan. Cuba hobi baru atau belajar sesuatu yang baru seperti melukis, membuat kraf atau menonton dan mencuba tutorial solekan.
Kalau anda nak tahu, musuh utama diri kita adalah diri kita sendiri. Jangan terlalu berkeras dengan diri anda dengan menghukum diri jika anda tidak dapat melakukan yang terbaik. Anda perlu memberi peluang kepada diri anda untuk berasa sedih, penat, kecewa dan kemudian bangkit semula. Anda sebenarnya akan lebih tenang dan bahagia jika anda memberi peluang kepada diri anda. Dapatkan bantuan jika perlu. Hubungi rakan atau doktor jika anda merasakan bahawa anda tidak mampu lagi bertahan.
Walaupun ketika ini segala kelihatan kelam dan tiada sinar harapan buat anda. Ingatlah bahawa semua ini hanyalah sementara dan akan berlalu. Anda akan kembali kepada rutin harian anda dan mungkin ketika itu nanti anda akan rindukan masa berseorangan anda seperti ketika ini. Sehingga saat itu nanti, bertabahlah dan jangan mudah mengalah!
Semoga bermanfaat!
Sumber: doctoroncall
Baca info: Tips Mudah Hafal Sifir
Leave a Reply