Anak Pelakon Potong Kerat Mangsa

DANIEL Sancho Bronchalo

Anak Pelakon Potong Kerat Mangsa

Anak lelaki kepada pelakon Sepanyol Rodolfo Sancho Aguirre sudah ditahan di Thailand berhubung kes kematian doktor yang ditemukan dengan anggota badannya, dikerat.

The Straits Times melaporkan, polis Thailand memberitahu Reuters pada Isnin bahawa suspek, Daniel Sancho, 29, ditahan di pulau pelancongan Koh Pha Ngan susulan pembunuhan mangsa iaitu seorang pakar bedah Colombia.

Sancho hadir di mahkamah pada Isnin ketika polis memohon penahanan selanjutnya untuk siasatan, kata Mejar Jeneral Polis Saranyu Chamnanrat kepada Reuters.

Sancho pada Ahad membawa polis ke tujuh lokasi, termasuk pantai di mana dia dituduh membuang beg plastik mengandungi bahagian badan seseorang yang kemudian dikenali sebagai Dr Edwin Arrieta Arteaga, 44.

Saranyu berkata, Sancho didakwa melakukan pembunuhan terancang, menyembunyikan dan mengalihkan anggota badan bagi menutup kematian atau punca kematian mangsa.

Sancho adalah anak kepada pelakon terkenal Rodolfo Sancho yang membintangi El Ministerio Del Tempo bersama pelakon Silvia Bronchalo.

Sancho yang bekerja sebagai cef, sedang bercuti di Thailand.

Keluarganya pada Ahad mengeluarkan kenyataan meminta ‘penghormatan maksimum, baik untuk Daniel Sancho sendiri dan untuk seluruh keluarga, dalam saat-saat rumit kekeliruan ini’.

Sancho ditahan sejurus selepas bahagian mayat ditemukan di tapak pelupusan sampah di Koh Pha Ngan, sebuah pulau yang terkenal dengan pelancong untuk pesta bulan purnama.

Polis berkata, lelaki itu mengaku melakukan jenayah berkenaan.

Polis berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat mangsa membuktikan individu itu adalah Dr Arrieta, sambil menambah mereka mempunyai bukti lain terhadap Sancho.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditunjukkan oleh penyiar tempatan ThaiPBS menunjukkan Sancho dan Dr Arrieta menaiki motosikal bersama beberapa hari sebelum mayat mangsa ditemukan.

Polis Thailand berkata, pada masa sama, pihak berkuasa meneruskan usaha mencari sisa mayat Dr Arrieta.-hmetro

About admin 1105 Articles
Informasi, Fakta, Perkongsian Bermanfaat, Sejarah, Sukan dan Tidak Ketinggalan Berita Viral dan Hiburan

Be the first to comment

Leave a Reply