New York: Seorang lelaki yang juga YouTuber di Amerika Syarikat (AS) melakukan kerja ‘gila’ apabila berseorangan selama 50 jam di dalam keranda.
Hindustan Times melaporkan lebih mengagumkan apabila MrBeast atau nama sebenarnya Jimmy Donaldson sanggup membiarkan keranda itu di tanam dalam tanah sepanjang tempoh berkenaan.
Baca: Youtuber Maut Ditikam Kekasih, Akibat Cinta Dipermainkan
“Ini kerja paling gila pernah saya lakukan,” tulisnya pada kapsyen ringkas pada video yang dimuat naik di YouTube.
Kisah itu mendapat perhatian netizen selepas Donaldson memuat naik video berkenaan di saluran YouTubenya yang sehingga kini meraih lebih 56 juta tontonan.
Menerusi video itu, kelihatan Donaldson masuk ke dalam keranda. Dia dibekalkan dengan makanan, minuman, bantal, selimut, kamera dan walkie-talkie.
Walkie-talkie itu digunakan untuk berhubung dengan rakannya yang membantu menjayakan misi berkenaan.
Cabaran itu nampak serius kerana selain ditanam, rakan Donaldson turut meletakkan batu nisan di atas ‘pusara’ YouTuber itu.
Dalam video berdurasi 12 minit 39 saat itu, salah seorang rakan lelaki itu turut berkongsi bagaimana Donaldson bernafas di dalam keranda berkenaan.
Pegawai perubatan turut ditempatkan di situ untuk bersiap sedia memberi bantuan kecemasan, sekiranya perlu.
Perkongsian Donaldson itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen dengan sebahagiannya memberi pujian atas usaha dan keberaniannya.
“Satu-satunya YouTuber yang mengekalkan identitinya,” tulis seorang netizen.-hmetro
Leave a Reply